Friday, 17 May 2013

BAHASA (2)


MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA DAN MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI)


DEFINISI MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA DAN MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI)

Memartabatkan Bahasa Malaysia bermaksud meletakkan Bahasa Malaysia pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. Bahasa Malaysia juga merupakan bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996.

Memperkukuh Bahasa Inggeris membawa maksud memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa yang wajib dipelajari, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu di peringkat nasional dan antarabangsa.

TUJUAN MBMMBI
Tujuan utama memartabatkan Bahasa Malaysia adalah kerana Bahasa Malaysia merupakan bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu ke arah membina negara bangsa untuk mencapai hasrat 1Malaysia.
Tujuan utama memperkukuh Bahasa Inggeris adalah kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa komunikasi antarabangsa yang perlu dikuasai dengan baik dan berkesan bagi membolehkan penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat nasional dan global.

STRATEGI PELAKSANAAN MBMMBI

Memartabatkan Bahasa Malaysia
Strategi memartabatkan Bahasa Malaysia meliputi perkara-perkara berikut:
- Pendekatan Modular Kurikulum Bahasa Malaysia
- Asas Berbahasa (Back To Basics)
- Didik Hibur
- Penggunaan Bahasa Malaysia Standard Merentas Kurikulum
- Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam P&P
- Program Bacaan
- Guru Bahasa Malaysia Berkualiti
- Persekitaran Pembelajaran yang Kondusif
- Bahasa Malaysia Bahasa Ilmu dan Komunikasi
- Kolaborasi Antarabangsa Kursi Bahasa Malaysia di Universiti Luar Negara
- Syarat Layak Masuk Institut Pengajian Tinggi

- Pendekatan Modular Kurikulum Bahasa Malaysia 
: – Penguasaan asas kemahiran berbahasa diperkukuh melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan holistik menerusi modul P&P.

- Asas Berbahasa (Basics To Basics) 
: – Pengukuhan asas berbahasa dilakukan secara berstruktur dan sistematik. Asas berbahasa pradengar, prabunyi, prabaca dan pratulis diperkukuh melalui modul P&P yang menerapkan elemen menyeronokkan dalam seni bahasa. P&P tatabahasa adalah berasaskan sistem bahasa yang betul dan dilakukan secara bersepadu dalam konteks.

Didik Hibur 
:– Pendekatan P&P Bahasa Malaysia akan menyediakan suasana yang lebih menyeronokkan dan menarik melalui pelbagai kaedah. Kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis, tatabahasa dan seni bahasa akan disulam dengan dengan aktiviti penerokaan, pencarian maklumat, pelaporan dan penghasilan produk.

Penggunaan Bahasa Malaysia Standard Merentas Kurikulum 
:– Penggunaan sistem bahasa yang betul dalam mata pelajaran lain akan menyokong P&P Bahasa Malaysia. Penggunaan dialek tempatan atau bahasa pasar mesti dipantau agar tidak menjejas standard dan mutu Bahasa Malaysia itu sendiri.

Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam P&P 
:– Penggunaan teknologi makluamt seperti perisian, e-mel, laman sembang dan laman web dapat menyediakan P&P yang bersifat interaktif serta nenghiburkan. Satu portal akan diwujudkan untuk menghimpunkan bahan penulisan serta menyediakan forum bagi penggiat bahasa, para pendidik, sasterawan, pelajar serta pengguna Bahasa Malaysia untuk berbincang, mengkaji dan mencari maklumat tentang Bahasa Malaysia.

Program Bacaan 
:– Program bacaan seperti Komponen Sastera dalam Bahasa Malaysia (KOMSAS), Buku Sastera Sekolah Rendah, Bacaan Awal Berstruktur dan NILAM diteruskan. Beberapa penambahbaikan akan dilakukan supaya pembacaan bahan sastera dapat ditingkatkan.

Guru Bahasa Malaysia Berkualiti 
:– Guru yang mengajar mata pelajaran ini perlu beropsyen Bahasa Malaysia untuk memastikan kualiti dari segi ilmu pedagogi. Guru digalakkan menghadiri kursus peningkatan profesionalisme yang memberikan pendedahan tentang perkembangan terkini ilmu pedagogi dan juga perkembangan bahasa daripada pakar dari dalam dan luar negara.

Persekitaran Pembelajaran yang Kondusif 
:– Pemantauan daripada aspek kebersihan, keceriaan dan keselamatan di sekolah dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi memastikan saiz kelas, serta keadaan fizikal bilik darjah dan sekolah lebih kondusif untuk P&P.

Bahasa Malaysia Bahasa Ilmu dan Komunikasi 
:– Usaha menterjemah karya agung dari Eropah, Amerika dan Asia perlu diperhebatkan. Melalui cara ini perluasan ilmu melalui pembacaan dalam Bahasa Malaysia dapat dipergiat, seterusnya menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Penggunaan Bahasa Malaysia juga mestilah tekal dan mantap dalam semua urusan rasmi agar hasrat 1Malaysia terlaksana melalui identiti negara bangsa.

Kolaborasi Antarabangsa Kursi Bahasa Malaysia di Universiti Luar Negara 
:– Satu kolaborasi yang mantap antara Malaysia dengan negara lain akan diwujudkan dengan menubuhkan kursi Bahasa Malaysia di universiti luar negara.

Syarat Layak Masuk Institut Pengajian Tinggi 
:– Pelajar yang mengikuti pengajian di universiti hendaklah diwajibkan mendapat kepujian dalam Bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia sebagai syarat masuk.

************************************************

Satu kaedah perlu dirangka bagi menilai tahap pencapaian dalam penggunaan bahasa Melayu di kalangan sektor awam dan swasta untuk satu jangka masa yang telah ditetapkan. Timbalan Perdana Menteri berkata, ia bagi memastikan segala dasar dan perancangan pembangunan negara tercapai dengan optimum dalam era kepimpinan negara yang menekankan kepada Indeks Prestasi Utama (KPI). Penilaian itu, jelas beliau, menjurus kepada tahap penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara dengan diberi keutamaan dan status yang sewajarnya.

Sebagai contoh dalam urusan surat menyurat, pengendalian mesyuarat, ucapan dan perbincangan. Selain itu, risalah dalam menyampaikan maklumat organisasi kepada masyarakat bagi tujuan promosi dan publisiti juga sewajarnya mendahulukan bahasa Melayu kerana bahasa Melayu amat penting kerana ia menjadi benteng bagi memperteguh jati diri bangsa. Ini kerana suasana dan persekitaran yang mewujudkan bahasa Melayu ditunjangi dengan nilai kesantunan yang tinggi dan budaya ketimuran. Globalisasi dan ledakan teknologi maklumat hari ini telah melahirkan dunia tanpa sempadan dan sekatan. Interaksi manusia, jelas beliau, menjadi semakin luas dan pantas melalui bukan sahaja secara bersemuka, atas talian malah di alam siber.

Kita juga seharusnya tidak ketinggalan dan perlu seiringan dengan perubahan yang berlaku dan jangan sesekali berundur ke belakang. Situasi hari ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi penggunaan bahasa Melayu yang mana unsur-unsur keunikan serta keagungannya menjadi longgar, rapuh dan mudah dicemari kerana dicampur aduk penggunaannya dengan bahasa-bahasa lain sewenang-sewenangnya.

Pencemaran bahasa itu, sedikit sebanyak telah menghakis identiti asli bahasa Melayu dan rasa hormat terhadap bahasa Melayu turut pudar kerana dicampur aduk mengikut selera dan kehendak hati. Ledakan ini telah menjadikan bahasa Melayu semacam berada di belakang berbanding bahasa-bahasa lain. kelangsungan bahasa Melayu mendepani zaman sekarang melalui saat yang sangat getir.

Memartabatkan bahasa Melayu sebagai saluran penguasaan ilmu.

Pelaksanaan PPSMI dilihat gagal beri manfaat kepada pelajar, terutama di luar bandar.
USAHA menggerakkan pelaksanaan program memperkasakan Bahasa Malaysia dan Inggeris pada semua peringkat sekolah seperti kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini adalah selaras dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang akan dilaksanakan mulai 2012 bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Memartabatkan bahasa Melayu bermaksud mengembalikan kedudukan bahasa itu sebagai bahasa pengantar di sekolah kebangsaan. Memperkasa bahasa Inggeris pula bermaksud usaha mempertingkat penguasaan bahasa itu melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan supaya pelajar benar-benar dapat menguasainya dengan baik.

Pengumuman pemansuhan PPSMI dan dasar MBMMBI dibuat selepas kerajaan mengkaji dan meneliti pelbagai aspek membabitkan keberkesanan pelaksanaan dasar itu. Kerajaan juga mengambil kira pelbagai pandangan cendekiawan serta pandangan umum mengenai pro dan kontra pelaksanaan PPSMI yang dilaksanakan sejak 2003.

Contoh, tokoh bahasa yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hassan Ahmad, menyatakan PPSMI boleh melemahkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Menurutnya, sebelum ini pelbagai bidang ilmu ditumpukan dalam bahasa Melayu termasuk dalam bidang sains dan matematik.
Bahasa Melayu juga pernah digunakan dengan meluas di pusat pengajian tinggi sehinggakan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi sebuah universiti yang sepenuhnya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Keunggulan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dibuktikan UKM apabila melahirkan ramai siswazah dalam bidang perubatan dan pelbagai bidang lain. Golongan profesional yang dilahirkan oleh UKM dengan pengantar bahasa Melayu turut mahir berbahasa Inggeris.

Peranan DBP yang menterjemahkan banyak buku dalam pelbagai bidang ilmu, termasuk menerbit pelbagai jenis kamus, peristilahan dan buku glosari dalam semua bidang pengajian berjaya mengangkat keupayaan dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Menurut kajian Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), pelaksanaan PPSMI didapati menjarakkan lagi jurang pencapaian sains dan matematik antara pelajar bandar dan luar bandar. Masih ramai guru PPSMI tidak menguasai bahasa Inggeris. Kebanyakan murid pula menunjukkan sikap pasif dan kurang ceria apabila kelas Sains dan Matematik berlangsung.

Majoriti murid, terutama di luar bandar takut bertanya soalan kerana tidak memahami pelajaran yang diajar. Hampir 50 peratus murid didapati tidak faham bahasa Inggeris. Kajian itu juga mendapati lebih 80 peratus murid Melayu sukar memahami pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Justeru, PPSMI dilihat gagal memberi manfaat kepada pelajar, khususnya di luar bandar.

Dalam melaksanakan dasar MBMMBI, Kementerian Pelajaran perlu mengambil beberapa langkah secara teliti dan terancang. Misalnya, untuk menyediakan buku teks dalam bahasa Melayu bagi kedua-dua mata pelajaran terbabit memerlukan jangka masa tertentu. Ini termasuk melantik panel penulis, penyediaan isi kandungan, panggilan tender dan akhirnya proses mencetak. Saya kira proses ini sudah pun berjalan kerana selepas berakhir 2011 nanti maka dasar baru itu akan dilaksanakan.

Kita juga perlu faham selain mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik kepada bahasa Melayu, pada masa sama kerajaan mahu memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Seperti disarankan pakar bahasa bahawa untuk memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, aspek pedagogi pengajaran dan pembelajaran bahasa itu perlu dipertingkatkan.

Oleh itu, kementerian perlu merancang pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris dengan berkesan. Justeru, kemampuan melahirkan guru bahasa Inggeris berkualiti amat penting supaya pengajaran dan pembelajaran bahasa itu menjadi lebih berkesan, menarik dan bersifat pembelajaran yang menyeronokkan.
Langkah kerajaan mengambil lebih ramai guru bahasa Inggeris dari luar negara adalah usaha mengatasi masalah kepakaran guru dalam bahasa Inggeris. Saya yakin ia langkah sementara sebelum negara dapat melahirkan lebih ramai guru yang mahir dan pakar dalam pengajaran bahasa Inggeris.

Kerajaan juga boleh mempertimbangkan pengambilan guru bahasa Inggeris yang sudah bersara tetapi masih mampu mengajar dengan berkesan. Guru berpencen yang diambil semula ini perlu memiliki kesihatan yang baik dan didedahkan dengan teknik pembelajaran bahasa Inggeris yang terkini.

Selain itu, penambahan peruntukan masa mengajar bahasa Inggeris di sekolah rendah dan menengah serta Tingkatan Enam dan Matrikulasi, akan dapat memantapkan lagi penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Langkah menjadikan makmal komputer di kebanyakan sekolah sebagai makmal bahasa pula akan dapat memantapkan dasar MBMMBI. Justeru, sekolah yang belum mempunyai kemudahan komputer, perlulah kerajaan segera menyediakannya.

Kesimpulan, dasar MBMMBI mampu mengembalikan semula kedudukan bahasa Melayu dalam pendidikan negara. Pada masa sama, dapat memperkasa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

***
credit : http://nuramalku.blogspot.com/2012/07/memartabatkan-bahasa-malaysia-dan.html

No comments:

Post a Comment