Monday, 20 May 2013

PENGHASILAN KARANGAN STPM BAHARU(1)


Teknik Mengolah atau Mengembangkan Isi Karangan 
Oleh: Cikgu Mohd. Khir Kassim
Guru Cemerlang Bahasa Melayu

Pendahuluan

Karangan yang baik haruslah diolah dengan mengembangkan isi iaitu menghuraikannya sambil mengemukakan bukti atau contoh yang sesuai. Dalam hal ini, kita jarang-jarang mendengar murid menghadapi masalah untuk mendapatkan isi karangan. Namun demikian kebiasaannya murid menghadapi masalah untuk mengolah atau mengembangkan isi karangan tersebut. Mereka selalunya menghadapi masalah untuk mengembangkan isi tersebut agar menjadi satu kesatuan idea dalam perenggan-perenggan karangan. Isi tersebut perlu dikembangkan menjadi satu pertautan idea antara satu perenggan dengan perenggan yang lain.
Murid-murid juga selalunya menghadapi masalah untuk menulis karangan yang menepati jumlah perkataan, seperti yang dikehendaki oleh soalan. Kerap kali berlaku, murid-murid menulis karangan yang jumlah perkataannya kurang daripada yang telah ditetapkan oleh soalan. Perenggan karangan juga biasanya tidak seimbang kerana terdapat perenggan yang panjang dan ada pula perenggan yang pendek. Perkara ini berlaku kerana murid-murid tiada teknik atau cara yang boleh membantu mereka untuk mengembangkan isi karangan agar seimbang antara perenggan. Oleh hal yang demikian, cikgu akan membincangkan teknik atau cara-cara untuk mengolah atau mengembangkan isi karangan.

Keperluan Soalan
Bagi peperiksaan STPM, bahagian ini akan mengemukakan 4 soalan karangan yang berdasarkan isu-isu semasa. Berdasarkan trend soalan semasa, terdapat satu soalan yang biasanya merujuk kepada soalan karangan berformat. Murid-murid dikehendaki menulis sebuah karangan yang panjangnya hendaklah antara 650 hingga 700 perkataan dengan berdasarkan 4 soalan yang dikemukakan dalam peperiksaan STPM.

Untuk menghasilkan karangan yang baik, empat proses yang berikut perlu diikuti oleh pelajar, iaitu:
i. Membaca semua soalan
ii. Membuat pemilihan dan perancangan
iii. Menulis karangan
iv. Membuat semakan

Selepas proses pertama dan kedua itu dilakukan, barulah murid menjalankan proses yang ketiga iaitu menulis karangan. Proses menulis karangan akan melibatkan pengolahan dan pengembangan isi karangan yang diperoleh dalam proses yang kedua. Proses inilah yang paling rumit dan mencabar kebolehan, kemahiran dan pengetahuan murid. Oleh yang demikian, proses yang ketiga ini perlulah diberikan tumpuan utama kerana markah karangan murid akan ditentukan oleh proses yang ketiga ini.

Teknik Mengolah Karangan dengan Menggunakan Formula
1. Pendahuluan
i. Ikatan 2 Hati (IKTHH- Isi, Kesan, Tindakan, Hasil, Hubung kait) - Formula Dr. Ghazali Lateh

Contoh perenggan pendahuluan
Statistik kemalangan jalan raya seringkali meningkat pada musim perayaan utama negara kita. (I) Hal ini telah menyebabkan banyak kecederaan berlaku dalam kalangan pengguna jalan raya di samping banyak juga nyawa manusia yang terkorban. (K) Oleh itu pihak berkuasa telah meningkatkan usaha untuk mengurangkan kemalangan jalan raya seperti penguatkuasaan undang-undang melalui “ops sikap” dan juga kempen keselamatan jalan raya. (T) Diharapkan jumlah kemalangan jalan raya akan dapat dikurangkan setelah langkah-langkah yang berkesan diambil oleh pihak berkuasa. (H) Oleh yang demikian usaha pihak berkuasa itu perlu diteruskan bukan sahaja pada musim perayaan malah pada hari-hari biasa untuk mengurangkan kes kemalangan jalan raya daripada terus meningkat di negara kita. (H) (96 perkataan)

ii. Ismail Kena Cium Lembu Hitam (IKCLH – Isi, Kesan, Contoh, Langkah, Hasil)

Contoh perenggan pendahuluanTerdapat projek perumahan yang terbengkalai atau tidak disiapkan oleh pemaju perumahan di negara kita. (I) Hal ini sudah tentu akan menyusahkan pembeli–pembeli rumah yang mengharapkan rumah mereka disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan. (K) Terdapat beberapa kes seperti ini yang berlaku di Kuala Langat, Gombak dan Hulu Langat, iaitu seperti yang dilaporkan oleh media massa arus perdana. (C) Oleh itu pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap pemaju perumahan yang bersikap seperti “harapkan pagar, pagar makan padi” ini untuk mengatasi masalah tersebut sebelum menjadi lebih serius. (L) Diharapkan langkah tersebut akan dapat mengatasi masalah yang terpaksa ditanggung oleh pembeli rumah yang hendak berpindah ke rumah sendiri. (H) (96 perkataan)

2. Isi Karangan
i. 5W1H (Apa, Siapa, Mengapa, Bila, Di mana, dan Bagaimana)

Contoh perenggan isi
Kemalangan jalan raya yang berlaku kebanyakannya berpunca daripada sikap pengguna jalan raya yang cuai. Mereka biasanya tidak menumpukan perhatian semasa memandu kenderaan di jalan raya. (A) Kebiasaannya juga mereka menggunakan telefon bimbit semasa memandu kenderaan ataupun memandu dalam keadaan mengantuk. (M) Keadaan ini seterusnya menyebabkan pemandu kenderaan hilang kawalan dan seterusnya menyebabkan berlakunya kemalangan. (Ba) Oleh yang demikian, pengguna jalan raya perlulah berhati-hati dan tidak cuai semasa memandu kenderaan di jalan raya agar kemalangan dapat dielakkan daripada berlaku. Hal ini bertepatan dengan pepatah Melayu iaitu beringat sebelum kena dan janganlah sudah terhantuk baru nak tengadah. (M) (79 perkataan)

ii. Individu dan Keluarga (Inke), Masyarakat (Kawan, Jiran dan Sekolah), Negara, Teknologi, dan Antarabangsa. ((InkeManeTekA)

Contoh perenggan isiSalah satu punca penagihan dadah adalah disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya. (Kawan) Para ramaja biasanya mudah terpengaruh oleh perbuatan yang dilakukan oleh rakan-rakan mereka. Selain itu mereka juga ingin tahu dan ingin mencuba perkara tersebut. Hal ini biasanya akan menyebabkan mereka ketagih terhadap dadah.

iii. Inikah Hasilnya Cinta (IKHC – Isi, Kesan, Huraian, Contoh)

Contoh perenggan isi
Aktiviti sukan yang kita lakukan boleh menyihatkan badan kita. (I) Hal ini demikian kerana semasa kita bersukan, badan kita akan mengeluarkan peluh. (K) Seterusnya perkara ini berlaku disebabkan oleh jantung kita bekerja kuat dan mengepam darah ke seluruh badan. (H) Contoh aktiviti sukan yang boleh kita lakukan adalah seperti bermain bola sepak, badminton, hoki, dan berjoging. (C)

3. Penutup/kesimpulan
i. Rasa Cinta Aku Pasti Hilang (RCAPH – Rumusan, Cadangan, Ancaman, Harapan) - Formula Dr. Ghazali Lateh (saya tambah dengan P iaitu peribahasa)

Contoh perenggan kesimpulan
Kesimpulannya, masalah rasuah perlulah ditangani segera oleh pihak berkuasa di negara kita. (R) Oleh yang demikian pihak berkuasa perlulah mengadakan kempen secara besar-besaran tentang keburukan rasuah. Kempen tersebut bolehlah dijalankan di media-media massa arus perdana dan juga melalui ceramah yang dijalankan oleh pegawai-pegawai Badan Pencegah Rasuah. (C) Hal ini demikian kerana jika masalah rasuah tidak diatasi sudah tentu akan merosakkan jentera pentadbiran negara. Jika jentera pentadbiran negara kita rosak sudah pasti kita semua yang akan menerima padahnya.(A) Perkara ini bertepatan dengan ungkapan, lebih baik mencegah daripada mengubati sesuatu penyakit.(P) Jadi, kita semua berharap agar masalah ini dapat ditangani dengan berkesan sebelum berleluasa atau menjadi lebih serius. (H) (102 perkataan)

ii. Kena Hati-Hati (Kesimpulan, Hurai, Harapan)

Contoh perenggan kesimpulanKesimpulannya semua pihak perlu bekerjasama untuk membanteras jenayah yang berlaku di negara kita. (K) Anggota masyarakat perlulah membantu pihak berkuasa dengan melaporkan kejadian jenayah yang berlaku dengan segera. (H) Dengan cara itu masalah jenayah ini diharapkan dapat dikurangkan dan dibanteras daripada terus berleluasa. Seterusnya hal ini membolehkan masyarakat di negara kita ini hidup dalam keadaan aman, tenteram dan harmoni.(H)

Penutup
Teknik yang dibincangkan tadi diharapkan dapat membantu murid-murid dalam menghuraikan dan mengembangkan isi karangan dengan baik. Diharapkan juga murid-murid dapat membina setiap perenggan karangan dengan teratur dan seimbang. Perenggan pendahuluan, perenggan isi, dan perenggan kesimpulan akan menjadi seimbang jika olahan dan huraian dirancang dengan baik dan jumlah perkataan yang dikehendaki akan dapat dipenuhi oleh murid-murid. Di samping itu murid-murid juga dinasihatkan agar membaca bahan-bahan bacaan yang relevan dan sesuai untuk membantu proses pengolahan dan pengembangan isi karangan. Murid-murid turut digalakkan membaca suratkhabar Utusan Malaysia dan Berita Harian, majalah Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Pelita Bahasa, Fokus, Kosmik dan sebagainya. Selain itu murid-murid juga dinasihatkan supaya banyak berlatih untuk mengembangkan isi karangan supaya tidak menghadapi masalah semasa berada di dalam dewan peperiksaan. Selamat mencuba formula yang dicadangkan ini.

2 comments: