Monday 13 May 2013

SAINS DAN TEKNOLOGI (1)

    PENCAPAIAN SAINS DAN TEKNOLOGI DI MALAYSIA

Kemajuan Sains dan Teknologi (S&T) merupakan satu ciri sebuah negara maju. S&T perlu dibangunkan sebagai pemangkin kepada aktiviti ekonomi dan menjadi penggerak kemajuan sesebuah negara. Hubungan S&T dengan ekonomi sangat rapat. Sesebuah negara yang maju ekonominya tetapi tidak ada aktiviti S&T ibarat manusia yang hidup sihat tetapi tidak punya 5 pancaindera. Manakala negara yang maju S&T tetapi tidak mantap ekonominya, ibarat manusia yang lengkap pancaindera tapi tidak bertenaga. Kesan kedua-dua keadaan ini ialah negara akan bersifat statik. Malah mungkin akan jadi mundur. Sebaliknya perkembangan menggalakkan dalam kedua-dua bidang (S&T dan ekonomi) membolehkan sesebuah negara menjadi dinamik dan berkembang. Maka mutu dan taraf hidup masyarakatnya akan meningkat.
Antara faktor perkembangan ekonomi ialah kemajuan S&T. Ini kerana aktiviti ekonomi banyak bergantung kepada teknologi, dan ianya berkait rapat pula dengan kemajuan sains. Melalui penyelidikan sains, banyak teknologi baru dapat dibangunkan. Kemajuan teknologi membolehkan peralatan-peralatan baru dibina bagi tujuan aktiviti ekonomi. Bidang perindustrian, misalnya, banyak bergantung kepada teknologi. Antaranya keperluan dalam pembinaan bangunan, kemudahan infrastruktur dan alat pengangkutan, serta penggunaan mesin/robot dalam sektor pembuatan. Bidang perindustrian merupakan antara faktor kepada kemajuan ekonomi moden. Tanpa S&T, industri mungkin tidak akan berkembang. Akibatnya aktiviti ekonomi sesebuah negara tidak dapat berlaku dengan berkesan. Ini akan menjejaskan pendapatan dan hasil ekonomi sesebuah negara industri seperti Malaysia.
Matlamat meningkatkan keupayaan S&T berasaskan kepada hasrat untuk membentuk satu "ekonomi yang cekap teknologinya mampu melakukan penyesuaian pembaharuan dan pelaburan yang berteknologi intensif dan bergerak ke arah penggunaan teknologi yang canggih."
MINT - 1972
Telah ditubuhkan pada 1972 dan dikenali sebagai Pusat Penyelidikan Atom Tun Ismail. Pada Jun 1983 PUSPATI ditukar nama kepada Unit Tenaga Nuklear (UTN) dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Pada Oktober 1990, UTN telah dipindahkan menjadi sebuah institut penyelidikan teknologi nuklear terunggul di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan dikenali sebagai MINT (Malaysian Institute for Nuclear Technology) pada 10 Ogos 1994. Ia bertanggungjawab memperkenal dan mempromosikan penggunaan sains nuklear dalam pembangunan negara.
MIMOS - 1985
Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia atau (Malaysian Institute of Microelectronic System) ditubuhkan pada tahun 1985 di bawah Jabatan Perdana Menteri dan telah dipindahkan menjadi sebuah agensi di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi pada bulan November 1990. MIMOS bertanggungjawab membantu melaksanakan R & D kepada industri elektronik tempatan supaya menjadi lebih competatif dan inovatif.
Malaysia East Asia Satellite - 1996
MEASAT (Malaysia East Asia Satellite) merupakan nama barisan satelit komunikasi Malaysia yang dimiliki dan dikendali oleh MEASAT Satellite Systems Sdn. Bhd.  Sehingga awal 2007, jaringan satelit MEASAT terdiri daripada tiga satelit geopegun yang direka dan dibina oleh Boeing Satellite Development Center (dahulunya Boeing Satellite Systems). MEASAT-1 dan MEASAT-2 dilancarkan pada 1996 dan MEASAT-3 pada 2006. Satelit MEASAT-1 dan 2 direka bagi membenarkan khidmat televisyen langsung kepada pengguna selama 12 tahun di Malaysia dan juga bagi khidmat perhubungan awam di kawasan dari Malaysia kepada Filipina dan dari Beijing hingga ke Indonesia.
Koridor Raya Multimedia - 1996
Koridor Raya Multimedia adalah satu inisiatif menarik dari Malaysia untuk industri global informasi dan teknologi (ICT). Projek ini diumumkan oleh Datuk Seri Dr. Mahathir semasa merasmikan Persidangan Multimedia Asia pada 1 Ogos 1996. Juga dikenali sebagai "MSC MALAYSIA" di Malaysia, Koridor Raya Multimedia bertujuan untuk menarik syarikat-syarikat IT dari seluruh dunia bertapak di Malaysia dengan menawarkan pengecualian cukai syarikat sementara serta kemudahan-kemudahan berteknologi tinggi. Multimedia Development Corporation telah diberi mandat oleh kerajaan Malaysia untuk menyelia perkembangan MSC.
7 Aplikasi Perdana e-Government - 1996
Bagi memantapkan objektif Wawasan 2020, satu usaha bersepadu telah dilaksanakan melalui tujuh inovatif Aplikasi Perdana. Aplikasi ini telah dibangunkan untuk melonjakkan Inisiatif MSC Malaysia dan mencipta utopia multimedia untuk pengusaha-pengusaha dan penguna-penguna yang inovatif di pelbagai bidang multimedia teknologi. Multimedia Super Corridor(MSC) menawarkan inisiatif menarik untuk rakyat Malaysia di era informasi ini. Tujuh aplikasi perdana MSC ialah Kerajaan Elektronik, Kad Pintar Pelbagai guna, Sekolah Pintar, Telekesihatan, Kumpulan R&D, e-Perniagaan dan Pembangunan Usahawan Teknologi.
Taman Teknologi Malaysia - 1996
Taman Teknologi Malaysia atau (Technology Park Malaysia-TPM) diwujudkan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang dipertanggunjawabkan untuk membangunkan teknologi rakyat tempatan ke arah perindustrian.  Objektif utama TPM ialah untuk membolehkan hasil penyelidikan dan inovasi yang dijana oleh organisasi penyelidikan awam dan swasta negara dikomersilkan. Tumpuan adalah terhadap promosi industri berteknologi tinggi dan koleberasi aktif antara industri, agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan institusi akademik ke arah mempromosikan perpindahan teknologi.
ASTRO - 1996
Astro merupakan penyedia perkhidmatan televisyen satelit berbayar pertama di Malaysia di bawah MEASAT Broadcast Network Systems Sdn. Bhd., sebuah konsortium syarikat kerajaan dan perdagangan. Astro memulakan siarannya pada 1996 dengan permulaan hanya menawarkan 22 saluran pelbagai dan juga 8 saluran radio. Mulai 31 Ogos 2006, Astro menambah 7 saluran baru dengan memperkenalkan 3 saluran jenama Astro iaitu Astro Aruna, Astro Kirana dan Astro Ceria. 4 saluran baru yang lain ialah CCTV4, WaTV, Animax dan Zee TV. Selain itu, mulai 28 Disember, 2006, Astro telah menawarkan 4 lagi saluran baru iaitu Al-Jazeera English, ETTV Asia, BBC Entertainment dan saluran terestrial ke-enam Malaysia TV9.
MyKad / Kad Pintar - 2001
MyKad adalah inisiatif Kerajaan Malaysia untuk memberikan kemudahan kepada orang awam melalui sekeping kad pintar untuk pelbagai aplikasi. Tidak seperti kad-kad lain yang sedia ada, MyKad menggabungkan pelbagai aplikasi Kerajaan dan swasta di dalam satu kad. Tambahan pula, MyKad yang berdasarkan teknologi kad pintar direkacipta agar berupaya untuk memuatkan pelbagai aplikasi baru di masa akan datang. Teknologi di sebalik sistem kad pintar adalah teknologi cip dan biometrik. MyKad menggunakan teknologi terkini yang menggabungkan pelbagai ciri keselamatan. Di antara ciri-ciri tersebut adalah pengesahan kad melalui kunci kriptografi yang simetrik. Sistem pengendalian pelbagai aplikasi dengan "firewall" dan platform cip yang selamat.
My Government - 2006
myGovernment adalah singkatan untuk Portal Perkhidmatan Awam Kerajaan Malaysia. myGovernment merupakan gerbang utama kepada informasi dan perkhidmatan Kerajaan Malaysia melalui Internet. Anda juga boleh melayari lebih 900 laman web agensi-agensi Kerajaan Malaysia. Inisiatif ini dilaksanakan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri.

    No comments:

    Post a Comment