Monday, 13 May 2013

PENDIDIKAN (2)

Contoh 2

 Isu Pembelajaran Sepanjang Hayat


Kemajuan sesuatu bangsa terletak kepada unsur-unsur kecemerlangan yang ada di dalam diri rakyat atau sumber manusianya. Sumber manusia ini bertindak sebagai penggerak kepada  pembangunan dengan mengusahakan pelbagai kegiatan kehidupan yang terdapat di dalam sesebuah negara. Kalau kita perhatikan bangsa-bangsa yang maju (dahulu dan sekarang) mahupun syarikat-syarikat yang berjaya, kita akan dapati kejayaan yang diraih oleh bangsa atau syarikat tadi sememangnya berpaksikan kepada sumber manusia yang cemerlang ini.
Dan seiring dengan perkembangan semasa,  kemasyhuran penggunaan istilah sumber manusia ini mula berkurangan. Sekarang kita lebih selesa dengan istilah modal insan untuk merujuk kepada sumber manusia. Istilah modal insan dilihat lebih mesra kerana sumber manusia tadi dianggap seperti modal (yakni bukan suatu beban atau tanggungan) yang perlu dijaga bagi memastikan kelangsungannya sebagai pemangkin kepada usaha pembangunan. Maka tidak hairanlah dalam pembangunan modal insan, perkara-perkara yang berkaitan dengan pendidikan dan pembelajaran, baik yang bersifat ilmiah, profesional mahupun vokasional diberi perhatian yang serius.
Dalam hal ini, faham pembelajaran sepanjang hayat berperanan besar dalam memastikan kemampuan yang ada dalam modal insan digilap agar dapat menghasilkan satu tahap kecemerlangan yang diinginkan oleh negara atau syarikat terbabit.
Faham pembelajaran sepanjang hayat adalah satu ilham yang terbit daripada satu laporan yang disediakan oleh Paul Lengrand yang juga merupakan pegawai yang bertanggungjawab ke atas Biro Pendidikan Dewasa (Adult Education Bureau), Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1965. Di dalam laporan tersebut beliau menyatakan bahawa pendidikan tidak sepatutnya terhenti pada usia kanak-kanak atau remaja. Ia perlu mengiringi seseorang itu di sepanjang hayatnya.
Manakala dalam satu laporan lain yang juga dikeluarkan oleh UNESCO yang bertajuk "Learning To Be" menyatakan bahawa capaian kepada pendidikan tidak sepatutnya dihadkan kepada golongan elit atau untuk mereka yang berada dalam lingkungan umur yang tertentu sahaja. Ia sebaliknya perlu disebatikan ke dalam keseluruhan anggota masyarakat  dan kehidupan setiap ahlinya.
Apa yang lebih penting ialah faham pembelajaran sepanjang hayat membolehkan semua orang mendapatkan pengetahuan yang sepatutnya untuk membolehkannya mengambil bahagian secara cergas sebagai seorang warganegara yang bertanggungjawab.
Menurut Knassel, Meed and Rossetti (2000), kepentingan pembelajaran sepanjang hayat ini dapat dikenalpasti menerusi tiga (3) sebab utama yang dikenali juga sebagai "The Three Es" iaitu employment (pekerjaan), empowerment (memberi kuasa) dan enjoyment(keseronokan).

Dalam arus persejagatan yang dialami sekarang, kemampuan seseorang menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran baru merupakan kunci utama untuk mendapatkan tawaran pekerjaan. Di dalam masyarakat workaholic seperti bangsa Jepun, kesedaran tentang kepentingan pembelajaran sepanjang hayat ini mencetuskan satu keadaan yang dikenali sebagai "employability fever"  di mana ahli masyarakatnya bersikap tekad untuk memiliki kelulusan atau kemahiran tertentu bagi menjamin mereka memperolehi peluang pekerjaan di dalam bidang yang mereka minati.
Jika di peringkat orang perseorangan, pembelajaran sepanjang hayat ini merupakan satu kelebihan bagi mendapatkan peluang pekerjaan tetapi di peringkat syarikat mahupun negara, ia merupakan pemangkin utama untuk meningkatkan penguasaan pasaran dan mencapai daya saing ekonomi yang mapan.

Apabila seseorang itu memperolehi pekerjaan yang diingini menerusi kesungguhannya mempelajari sesuatu yang baru atau sesebuah negara mencapai daya saing yang tinggi hasil kecemerlangan yang ditunjukkan oleh rakyatnya, secara tidak langsung mereka mempunyai lebih keupayaan atau kuasa untuk menentukan hala tuju yang ingin dicapai seterusnya. Inilah juga yang dirujuk oleh Knassel, Meed and Rossetti tadi sebagai empowerment.
Selain memberi ruang yang lebih dalam bidang pekerjaan mahupun keupayaan dalam menentukan sesuatu, pembelajaran sepanjang hayat juga merupakan satu keseronokan(enjoyment) kepada mereka yang cintakan ilmu pengetahuan dan sesuatu yang baru. Dalam banyak keadaan, belajar kerana seronok akan memudahkan lagi usaha memahami atau menghayati sesuatu perkara dan seterusnya akan mendorong seseorang itu untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi tentang perkara tersebut.
Jika kita ingin mengaitkan konsep pembelajaran sepanjang hayat ini dengan ajaran agama Islam, ia bukanlah sesuatu yang sukar. Malah wahyu pertama yang diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w  di dalam surah al-‘alaq adalah berupa satu suruhan supaya baginda membaca walaupun baginda seorang yang buta huruf (ummiyy) dan sudah berusia 40 tahun pada masa tersebut.
Justeru, intisari wahyu pertama itu juga menjelaskan kepada kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan umat manusia supaya menuntut ilmu pengetahuan. Selain daripada itu, apa yang dapat dicerap daripada wahyu ini juga ialah batas usia mahupun kekangan-kekangan yang ada, baik yang berupa halangan kebendaan, kewangan mahupun fizikal tidak seharusnya dijadikan sebagai suatu halangan kepada kita untuk menuntut ilmu kerana dalam agama Islam ia merupakan satu proses yang berterusan dan berpanjangan.
Arahan ini diperkukuhkan lagi oleh sabda nabi s.a.w di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah yang bermaksud : "Menuntut ilmu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam."
Tanpa menjurus kepada satu lingkungan umur yang tertentu, kefarduan yang termaktub di dalam hadis di atas dapat difahami sebagai merangkumi semua peringkat usia umat Islam, baik yang muda mahupun yang dewasa atau yang tua, kaya mahupun miskin.
Jika kita kembali kepada sejarah kegemilangan ilmuwan Islam, pemahaman bahawa ilmu itu wajib dituntut walau dalam keadaan apa jua sekalipun telah melahirkan tokoh-tokoh terbilang seperti Iman Shafie (lahir sebagai seorang anak yatim yang miskin), Ibn Taimiyyah (lahir semasa keadaan siasah Islam berada dalam kacau bilau, al-Jahiz (seorang abdi berkulit hitam) dan lain-lain lagi.
Dalam konteks negara Malaysia, usaha untuk menyemarakkan faham pembelajaran sepanjang hayat ini dapat dilihat menerusi iltizam kerajaan yang dinyatakan di dalam Teras Kedua Misi Nasional yang dimuatkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-9. Walaupun dalam hal ini, kerajaan kita agak terlewat jika dibanding dengan usaha yang dilakukan oleh kerajaan Korea Selatan mahupun Singapura kerana mereka bermula seawal pertengahan tahun 1990 an dan awal 2000 lagi, tetapi ia bukanlah satu alasan untuk kita tercicir daripada arus kemajuan dalam bidang keilmuan ini.
Pernyataan Teras Kedua itu antara lain menegaskan bahawa kejayaan negara bergantung kepada mutu modal insan yang dimiliki. Sehubungan dengan itu, kerajaan Malaysia telah membuat iltizam untuk melaksanakan usaha penambahbaikan sistem pendidikan negara secara menyeluruh, dari peringkat pra sekolah hinggalah ke peringkat tinggi dan juga vokasional.
Tidak seperti Knassel, Meed and Rossetti yang hanya menggariskan unsur peluang pekerjaan, keupayaan dan keseronokan sebagai dorongan utama kepada seseorang itu untuk belajar, matlamat pembangunan modal insan kerajaan Malaysia adalah lebih syumul dan bersifat lebih bersepadu (holistic). Ia berhasrat untuk melahirkan modal insan yang tinggi daya akal fikirannya tetapi pada masa yang sama mempunyai keperibadian yang unggul.
Apapun, kita sememangnya mengimpikan apa yang direncanakan kerajaan menjadi suatu kenyataan. Apalah guna menjadi satu bangsa yang maju jika kepentingan akhlak dan budi pekerti dikesampingkan. Sebaliknya kita mahu menjadi satu ummah yang seimbang dan cemerlang dalam semua perkara. Ini adalah bertepatan dengan satu hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Hakim di mana Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:Kemuliaan manusia adalah agamanya, harga dirinya (kehormatannya) adalah akalnya dan ketinggian kedudukannya adalah akhlaknya
http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=1522&cmd=resetall

No comments:

Post a Comment